Datuk Yahya Sulong meninggal dunia

Pelakon veteran dan pelawak, Datuk Yahaya Sulong, 84, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur hari ini akibat sakit tua.
    
Presiden Seniman Malaysia Rozaidi Jamil atau Zedzaidi ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu dan berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.45 petang.
    
"Malam ini jenazah akan dibawa untuk dimandi dan disemadikan di Teluk Intan, Perak," katanya.
    
Filem pertama lakonan Yahaya ialah Abu Nawas dan sehingga kini beliau telah berlakon dalam 24 buah filem.
    
Antara filem lakonannya dalam era 80-an sehingga kini termasuk Gila-Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Da Di Du, Toyol, Prebet Lapok dan Senario The Movie.
    
Allahyarham juga popular dengan sitkom televisyen seperti Hang Setia bersama Allahyarham R.Jaafar, Param dan Hamid Gurkha serta siri Si Jantung Hati.
    
Allahyarham mempunyai 11 orang anak dan meninggalkan balu, Datin Alisah Ali.
    
Keluarga berkenaan menetap di Flat Seri Perak, Bandar Baru Sentul.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.