Isu Amalilio: PKR hantar misi khas ke Manila

PKR akan menghantar dua wakilnya ke Manila, Filipina untuk menemui pihak berkuasa negara itu serta bertemu dengan mangsa yang didakwa ditipu oleh saudara ketua menteri Sabah, Manuel Karingal Amalilio.

Naib presiden PKR,  Tian Chua berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Subang R Sivarasa juga akan bertemu dengan wartawan yang membuat liputan mengenai kegiatan Amalilio, 47, yang juga dikenali dengan nama Mohammad Kamal Sa'aid.

"Kita akan bertemu pegawai kerajaan yang berada di sana. Setakat ini kita dah maklumkan mereka tentang perkara ini.

"Ini kes yang serius yang menunjukkan isu rasuah di Malaysia. Sudah berapa kali ketua menteri Sabah didakwa terlibat dalam membela penjenayah rasuah. Jadi kita pergi untuk dapatkan gambaran yang lebih tepat tentang apa yang berlaku di Filipina.

"Ini kes yang besar. (Amalilio) didakwa menipu 15,000 orang negara itu yang mana kita dapati yang ditipu itu berketurunan muslim di Selatan Filipina," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Laporan sebelum ini menyebut, Amalilio yang dikehendaki pihak berkuasa Filipina dihukum dua tahun penjara kerana memiliki pasport palsu selepas perbicaraan diadakan di wad Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu Isnin lalu.

Beliau didakwa melarikan diri ke Sabah selepas dikehendaki polis Filipina kerana didakwa menipu lebih 15,000 rakyat negara itu sebanyak 12 bilion peso (RM895 juta) melalui syarikatnya Aman Futures Group di Visayas dan Mindanao Aman. 

Bagaimanapun, siasatan polis Malaysia mendedahkan Amalilio seorang rakyat negara ini tetapi mendapat pasport palsu Filipina.

Sehubungan itu, Tian yang juga MP Batu melahirkan rasa kesal terhadap kerajaan Malaysia yang didakwa tidak memberi kerjasama untuk menjelaskan isu berkenaan.

"Sebagai ahli parlimen dan mewakili rakyat Malaysia, kita prihatin tentang apa yang berlaku. Ini melibatkan imej negara. Kita rasa wajib tahu kebenaran. Kita juga kesal dengan kerajaan Malaysia yang tidak memberi kerjasama malah menghalang kerajaan Filipina dalam hal ini," katanya lagi.

Tian berkata beliau dan Sivarasa akan meluangkan masa selama sehari di Manila dan akan berlepas ke ibu negara Filipina itu malam ini.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.