Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS janji 'bebaskan' kakitangan awam
Diterbitkan:  Feb 7, 2013 5:13 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

PAS menyeru kakitangan kerajaan agar keluar dari kemelut tekanan politik dan campurtangan Umno dalam perkhidmatan awam selama ini, jika Pakatan Rakyat mentadbir negara ini.

Ketua penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa pelbagai tekanan dan paksaan yang dikenakan ke atas kakitangan awam supaya menyokong program dan agenda Umno.

"Pelbagai surat tunjuk sebab dikeluarkan yang langsung tidak berkaitan dengan tugas rasmi.

"PAS mengingatkan bahawa perkara ini boleh dihentikan dengan para kakitangan perkhidmatan awam, termasuk polis dan tentera membuat perubahan dalam pilihanraya ke 13," katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim mendakwa campurtangan melampau Umno juga, menyebabkan ramai kakitangan awam ditukar, diberi amaran dan ditahan kenaikan gaji dan pangkat, semata-mata dilihat tidak menyokong parti itu.

"Selagi Umno-BN terus berkuasa, mereka akan terus ditekan dan dibuli bagi menghadiri pelbagai program Umno dan melakukan perkara-perkara untuk agenda Umno, walaupun perkara itu bertentangan dengan naluri dan sifat mereka untuk kekal berdikari dan hak membuat pilihan sendiri," katanya.

Sehubungan itu, menjelang pilihan raya umum ke-13,  Tuan Ibrahim menyeru seluruh kakitangan awam supaya bertindak bijak bagi menghentikan campurtangan melampau tersebut dan bertindak keluar dari tekanan dan paksaan politik itu dengan memberi mandat kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

"PAS bersama Pakatan Rakyat memberikan jaminan perkhidmatan awam akan dibiarkan bebas dan berdikari daripada cengkaman dan tekanan politik jika diberi mandat nanti.

"Para kakitangan awam tidak lagi perlu risau dan takut untuk melakukan perkara yang betul yang tidak disukai parti pemerintah sehingga menyebabkan mereka ditukar dan dipisahkan daripada keluar dan kesan kepada gaji, pangkat dan masa depan mereka di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat yang menjunjung konsep kerajaan bermoral dan adil seperti yang dituntut Islam," katanya.

ADS