Melakukan lebih lagi untuk masyarakat Cina - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan memastikan masyarakat Cina terus dibantu dan masih banyak yang boleh dilakukan pada tahun 2013 ini.
    
Perdana menteri berkata kerajaan Barisan Nasional sedar akan kepentingan untuk mempunyai saluran terbuka dengan masyarakat Cina untuk memahami kehendak mereka.
    
"Menerusi laman Ah Jib Gor sahaja kami berjaya mendapatkan pelbagai maklumat untuk diambil kira dalam Bajet 2013.
    
"Satu daripada bidang yang amat penting ialah pendidikan, di mana kami telah peruntukkan dana sebanyak RM100 juta dalam Bajet 2013 selain peruntukan RM100 juta untuk tahun lalu bagi pembinaan bangunan, penambahbaikan dan pengurusan sekolah jenis kebangsaan Cina," katanya dalam perutusan terbaru blog beliau
1Malaysia.com.my.

Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan negara, kami juga mensasarkan untuk menambah jumlah guru berbahasa Cina bagi memenuhi permintaan para pelajar.
    
"Bagi pelajar cemerlang di sekolah menengah jenis kebangsaan Cina pula akan diberikan biasiswa agar mereka dapat menyumbang kepada masyarakat selepas
mereka tamat pengajian kelak," katanya.
    
Untuk itu, Najib berharap masyarakat Cina di negara ini terus memberi sokongan kepada beliau untuk mencapai matlamat ini.
    
Memandangkan perayaan paling penting dalam kalendar masyarakat Cina, Tahun Baharu Cina sudah hampir tiba, kini seluruh Malaysia sudah pun tidak sabar untuk merasai suasana perayaan yang cukup dikenali dengan hidangan pelbagai makanan dan hiasana berwarna merah, katanya.
    
Najib berkata beliau juga tidak sabar untuk menikmati 'Yee Sang'.
    
"Yee Sang adalah makanan tradisi yang merupakan simbol tuah, kemakmuran dan kesihatan yang baik. Pada saya, perayaan ini juga menunjukkan betapa pentingnya masyarakat Cina di negara ini.
    
"Ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Razak, mempunyai pandangan yang sangat jelas mengenai masyarakat Cina yang banyak membantu dalam pembangunan negara sejak kita mengecapi kemerdekaan - dan saya akan mewarisi wawasan beliau itu," katanya.
    
Najib berkata beliau tidak boleh bayangkan sekiranya Malaysia tidak mempunyai budaya Cina yang telah sebati dalam masyarakat.
    
"Saya dapat rasakan yang semangat ini telah diturunkan kepada generasi seterusnya kerana anak saya sendiri, Ashman, kini boleh bertutur dalam bahasa  Mandarin dengan fasih!"katanya.
    
Atas semangat 1Malaysia, Najib mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada seluruh masyarakat Cina di negara ini.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.