GPMS: Gerakan Mahasiswa PRU13 kumpulan kecil 'nakal'

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menegaskan bahawa kumpulan mahasiswa - Gerakan Mahasiswa PRU13 -  yang mahu bertanding mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Pekan dalam pilihan raya umum hanya mewakili sebahagian kecil mahasiswa yang 'nakal'.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden GPMS, Ezaruddin Abd Rahman menggesa mahasiswa lain supaya tidak akan sewenang-wenangnya terpengaruh dengan perjuangan 'kosong' mereka itu.

Semalam, Gerakan Mahasiswa PRU1 yang diketuai Syis Abdul Kadir mengumumkan akan menurunkan calon bertanding di
Parlimen Pekan dalam pilihan raya umum akan datang.

Mendakwa disertai beberapa gerakan mahasiswa lain antaranya Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Syis berkata, calon akan diumumkan sebaik sahaja Najib
mengumumkan tarikh pilihan raya.

Mengulas lanjut, Ezaruddin juga berkata ia merupakan agenda pembangkang memperalat mahasiswa bagi kepentingan politik.
    
Katanya, kedudukan Najib di Parlimen Pekan yang kukuh menyebabkan pembangkang, yang lemah di Pekan, memerlukan sesuatu sebagai gimik bagi meraih sokongan politik di kawasan itu dan seluruh negara.
    
"Saya kesal mengapa mahasiswa yang menjadi mangsanya dalam perkara ini, tiada masalah bagi mahasiswa terlibat politik dan mahu bertanding pada PRU akan datang, tetapi janganlah begini jadinya. Kumpulan itu perlu menunjukkan politik
yang matang berpaksi demokrasi yang sebenar.
    
"Bertanding di suatu kawasan adalah untuk membela nasib rakyat seperti apa dilakukan PM (Najib), bukan bertanding hanya kerana mahu memperlekeh PM atau menyatakan rasa tidak puas hati. Ini bukan demokrasi matang yang sebenar," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

"Saya nasihatkan mahasiswa supaya tidak mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang keluar daripada mulut pembangkang, fikir secara logik tentang sesuatu isu yang ditimbulkan.
    
"Jangan biarkan diri menjadi 'kuda tunggangan' pihak yang ingin memerah keringat anda. Mahasiswa ini tunjang masa depan negara, jadi mereka kena mula bertindak sebagai tunjang bukan perosak negara," katanya.

- Bernama

1. Kumpulan mahasiswa umum cabar Najib di Pekan
   

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.