Mahkamah arah Mazlan Aliman failkan pembelaan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman yang disaman oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), memfailkan pernyataan pembelaan sehingga 22 Februari.

Penolong Kanan Pendaftar Catherine Nicholas turut memerintahkan lima defendan lagi iaitu Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah Taufek Yahya, penulis artikel Mohd Arif Atan dan pencetak Harakah Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd, memfailkan pembelaan mereka.

Peguam Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Felda memberitahu pemberita Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang dinamakan sebagai defendan ketujuh masih gagal memfailkan kehadiran di mahkamah.

Abu Bakar berkata Catherine menetapkan 18 Mac untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Lee Heng Cheong.

Pada 7 Januari lalu, Felda memfailkan saman fitnah terhadap Mazlan dan enam lagi berhubung kenyataan penjualan minyak sawit mentah ke Israel.

Menerusi pernyataan tuntutan, Felda mendakwa Mazlan telah memuat naik kata-kata fitnah di laman sosial facebook miliknya pada 19 November tahun lepas dan empat hari selepas itu (23 Nov), Mazlan mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu perhimpunan yang dilakukan di hadapan pejabat Felda.

Dakwanya, kenyataan fitnah yang dikeluarkan Mazlan diterbitkan semula oleh defendan kedua hingga keenam menerusi beberapa artikel dalam akhbar Harakah pada 26 hingga 29 November tahun lepas.

Felda mendakwa kenyataan fitnah itu menjejaskan reputasi Felda dan mendakwa kesemua defendan sengaja berbuat demikian untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat demi meneruskan agenda tersendiri dan kepentingan peribadi.

Felda menuntut ganti rugi am, khas, teruk, teladan, faedah dan kos ke atas semua defendan.

Felda juga menuntut satu arahan injunksi untuk menahan Mazlan dan ejennya berbicara atau menerbitkan kata-kata fitnah tersebut di internet atau media cetak.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.