Mayat Claudia dijangka tiba petang esok

Mayat bekas wartawan The Sun dan Malaysiakini - Claudia Theophilus - yang terbunuh di Lubnan minggu lepas, dijangka tiba di Malaysia petang esok.

Pengerusi Biro Aduan Pemuda Umno, Muhammad Khairun Aseh telah dipetik oleh The Star Online sebagai berkata misi parti itu, yang diketuai oleh pembantu pengarah biro tersebut, Khairil Anuar Ahmad, tiba di Beirut pada 5 Februari.

Menurutnya, mayat Claudia telah dikenal pasti oleh adiknya, Dora, di sebuah hospital di Baakleen, kira-kira 90 minit jauhnya dari Beirut.

Pasukan misi itu juga, tambahnya mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak polis Lubnan, dan kenyataan mereka juga telah direkodkan.

Dalam satu kenyataan, Khairun berkata, sebagai memenuhi kehendak keluarga Claudia, permohonan telah difailkan di mahkamah tempatan supaya mayat mendiang dihantar balik secepat mungkin.

"Mahkamah juga mengarahkan pihak polis memulangkan semua barangan Claudia, termasuk yang dikategorikan sebagai bukti dalam siasatan yang dijalankan," katanya.

Claudia, seorang produser dengan rangkaian televisyen Al-Jazeera, meninggal dunia akibat terkena peluru sesat pada kira-kira jam 2.30 waktu tempatan pada 2 Februari.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.