Najib letak harapan tinggi kepada jentera Wanita BN

Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan harapan yang tinggi kepada jentera Wanita Barisan Nasional (BN) kerana yakin mereka akan menjadi jentera yang sangat penting dalam memastikan kemenangan parti gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
    
Perdana menteri berkata beliau juga amat menghargai sumbangan jentera Wanita selama ini dan akan membalas jasa mereka yang tanpa jemu menyokong serta bekerja untuk parti.
    
"Jentera Wanita BN akan jadi jentera yang akan mempengaruhi rakyat dan yakinkan rakyat bahawa kita tepati janji dan kita sudah lakukan perubahan untuk negara.
    
"Wanita akan turun padang, melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh dan akan 'membirukan' landskap politik tanah air," katanya ketika berucap di majlis pelancaran Gelombang Biru Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
    
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi Umno serta BN.

Najib yang juga pengerusi BN berkata jentera Wanita BN perlu terus turun padang menemui rakyat tanpa perlu menunggu semboyan dibunyikan kerana PRU-13 sudah semakin hampir.
    
"Kita dah cukup jelas, tak payah tunggu semboyan, kita dah hampir, dah dekat (dengan PRU-13)," katanya.
    
Beliau berkata BN telah melakukan pelbagai transformasi yang membawa kepada kemakmuran masa depan negara.
    
"Kita bukan sahaja menepati janji tetapi kita akan beri harapan baru untuk negara, sebab kita sudah ada perancangan yang cukup baik dan agenda yang begitu tersusun.

"Sebab itulah dunia akui dan kagumi agenda transformasi kita. Ketika di Forum Ekonomi Dunia di Davos (Switzerland), Malaysia menjadi negara yang bersinar dengan kisah transformasinya yang diiktiraf dunia.
    
"Saya tak dengar (mengenai) Buku Jingga, tak boleh pakai buku itu...semuanya karut belaka," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.