Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lima minit pertama ketika kebakaran adalah waktu yang kritikal dan mampu menyelamatkan nyawa mangsa daripada terperangkap, sekiranya kediaman mereka dilengkapi dengan sistem pengesan asap.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Drahman berkata jika masyarakat prihatin terhadap aspek keselamatan mereka, mereka hanya perlu melabur antara RM85 dan RM120 bagi memasang alat pengesan asap itu, tragedi seperti yang menimpa empat anggota keluarga yang rentung di Sungai Siput, Perak baru-baru mungkin dapat dielakkan.

Dalam kejadian 5 Feb lalu, empat beranak, iaitu ibu berusia 50an serta tiga anaknya berusia antara 16 hingga 23, ditemui rentung dalam kebakaran rumah mereka di Taman Bukit Medan, Sungai Siput.

Khiruddin berkata karbon monoksida iaitu gas yang terhasil dalam kebakaran akan membuat penghuni tidak sedarkan diri sekiranya tiada amaran awal untuk mengejutkan mereka dari tidur.

 

"Kebanyakan punca kematian akibat kebakaran di rumah adalah penghuni tidak menyedari sesuatu kebakaran," katanya kepada Bernama.

Khiruddin berkata daripada kajian yang dibuat, apabila berlaku sesuatu kebakaran dalam tempoh lima minit, mangsa perlu segera keluar dari kawasan kebakaran itu.

"Kerana ketika itu tahap oksigen akan menurun kepada 16 peratus dan adanya toksin gas di situ dalam masa 30 saat hingga satu minit menyebabkan mangsa boleh pengsan. Gas berkenaan telah diserap melalui pernafasan lalu pergi ke otak dan menyebabkan kegagalan otak berfungsi dan (mangsa diserang) sesak nafas.

"Berdasarkan laporan forensik hospital, kebanyakan mangsa yang mati adalah disebabkan sesak nafas dalam asap. Api mengambil masa untuk membakar bahan di dalam rumah tetapi asap berkumpul lebih cepat akibat pembakaran kerana ia terperangkap di dalam bangunan," katanya.

Beliau berkata kajian menunjukkan bahawa peluang untuk menyelamatkan diri adalah 50 peratus tinggi sekiranya alat pengesan asap dipasangkan berbanding dengan rumah yang tidak memilikinya.

Justeru beliau menyarankan agar pemilik kediaman memasang alat pengesan asap kerana ia mampu dimiliki selain membeli alat pemadam api, yang dijual sekitar RM68 satu silinder bergantung kepada saiz dan berat.

"Walaupun pihak bomba belum mewajibkan penggunaan alat berkenaan di rumah persendirian, tetapi masyarakat perlu tahu bahawa alat berkenaan memainkan peranan penting untuk menyelamatkan nyawa," katanya.

Beliau berkata di Kuala Lumpur, kawasan penempatan yang banyak membuat panggilan kebakaran pada tahun lepas ialah Lembah Pantai dengan 376 panggilan kebakaran diikuti Jinjang (313), Bandar Tun Razak (269) dan Bukit Jalil (253).

"Pihak bomba telah mengambil inisiatif termasuk mengadakan kempen kesedaran bagi membantu masyarakat dan berharap mereka memandang serius terhadap perkara tersebut," katanya.

Langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan kebakaran adalah memastikan peralatan elektrik dan memasak ditutup sepenuhnya, mengelak membuat penyambungan atau membebankan litar elektrik serta menyimpan bekas yang mengandungi cecair mudah terbakar di tempat yang jauh dan selamat dari punca api.

- Bernama

ADS