Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Jangan gelincirkan program tranformasi dari landasan

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program transformasi nasional dilaksanakan kerajaan sudah bergerak di landasan betul dan rakyat tidak harus menggelincirkan perjalanannya untuk menuju matlamat menjadikan Malaysia negara maju pada 2020.

Katanya, program transformasi nasional ibarat lokomotif yang sudah berada di landasan dan sedang bergerak ke hala tuju yang tepat.

"Kalau sudah berada di landasan, kenapa kita harus berbuat sesuatu yang boleh menyebabkan ia tergelincir dari landasan, kalau ada yang rosak, sama-samalah kita perbaiki," katanya semasa berucap pada Jamuan Bersama Rakyat Malaysia di Jakarta malam ini.

Kira-kira 400 tetamu terdiri daripada warganegara Malaysia yang bekerja di Jakarta dan kawasan sekitar serta para pelajar Malaysia yang menuntut di beberapa universiti di ibu negara Indonesia ini menghadiri acara itu.

Sehubungan itu, kata Muhyiddin, rakyat Malaysia harus membuat pertimbangan bijaksana untuk membantu kerajaan sekarang meneruskan dasar sedia ada.

Dasar-dasar Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional sejak sekian lama juga berteraskan ketelusan dan sentiasa diperbaiki dari satu fasa ke satu fasa kerana dalam pelaksanaan dasar-dasar itu akan terdapat masalah.

"Semua kerajaan ada masalah. Yang penting ialah soal bagaimana keupayaan kita urus dan kurangkan masalah itu. Kalau ada kelemahan dan kekurangan kita baiki," kata Muhyiddin.

Muhyiddin yang tiba di sini petang ini untuk lawatan kerja dua hari, mempunyai jadual padat termasuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Penyelaras Bidang Ekonomi Indonesia, Hatta Rajasa pagi esok.

Timbalan Perdana Menteri juga dijadual merasmikan Dewan Malaysia Jakarta di sini esok, yang merupakan mercu tanda hubungan erat antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Pada tengah hari, beliau akan berucap pada forum meja bulat Gerakan Kesederhanaan Global.

-Bernama

ADS