JPJ kesan pemandu bas bawah pengaruh dadah

Lima pemandu bas ekspress dikesan berada di bawah pengaruh dadah sepanjang operasi Tahun Baharu Cina yang dijalankan di seluruh negara dari 3 Feb hingga tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Solah Mat Hassan berkata masing-masing dua pemandu dikesan dalam pemeriksaan di terminal bas di Perak dan Kedah manakala seorang lagi di Johor.

Kesemua pemandu itu ditahan dan dilarang daripada meneruskan pemanduan mereka demi keselamatan penumpang bas ekspress, katanya kepada pemberita ketika ditemui pada operasi turun padang di Km 81, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Anak Ikan di Besut hari ini.

Beliau berkata operasi Tahun Baharu Cina oleh JPJ dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu memberi tumpuan di kesemua 32 Terminal Bas Utama di negeri-negeri dengan meletakkan pegawai dan anggota JPJ yang menyamar sebagai penumpang.

Operasi itu membabitkan 1,500 anggota di seluruh negara dan dalam tempoh itu 50,222 kenderaan diperiksa. Sejumlah 9,537 kenderaan diambil tindakan dan JPJ mengeluarkan 7,530 notis saman serta 4,654 notis lain termasuk 203 kenderaan disita.

Dalam Ops khas motosikal pula sebanyak 9,168 motosikal diperiksa dan dari jumlah itu, sebanyak 1,838 diambil tindakan membabitkan 3,306 jenis kesalahan.

Mengenai kes positif dadah, Solah berkata sepanjang tempoh operasi itu, enam pemandu kereta, 14 penunggang motosikal dan lima pembonceng motosikal ditahan.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.