Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pihak berkuasa Thai diletak dalam keadaan berjaga-jaga berikutan rancangan Al-Qaeda untuk menyerang pejabat Konsul Amerika Syarikat di Chiangmai bulan ini, demikian didedahkan kerajaan Thailand hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Charlem Yubamrung berkata pihak berkuasa Thai dimaklumkan oleh sumber setempat 'sejak dulu lagi' bahawa dua kumpulan pengganas iaitu Al-Qaeda dan sekutu rapatnya Salafist Group, sebuah kumpulan pengganas berpusat di Algeria, merancang serangan itu.

Beliau berkata pihak berkuasa diletak dalam keadaan berjaga-jaga sejak "beberapa hari lepas.".

"Saya telah menugaskan pihak berkuasa menguruskan perkara itu dan mengarahkan mereka mengambil tindakan perlu untuk menggagalkan serangan," katanya kepada pemberita hari ini.

Ditanya mengenai kesahihan sumber itu, beliau berkata: "Biar pun ia tidak sahih, kita mesti berwaspada dan berjaga-jaga."

Charlem enggan mendedahkan motif, tarikh dan cara serangan itu akan dilakukan memandangkan ia melibatkan maklumat sulit.

Beliau juga enggan menjawab soalan sama ada serangan yang dirancang itu mempunyai kaitan dengan Eksesais 'Cobra Gold' ke-32, iaitu latihan ketenteraan pelbagai negara yang sedang berlangsung di Chiangmai.

Eksesais itu dikelolakan oleh Thailand dan Amerika Syarikat sejak 1980 dan bermula sebagai eksesais ketenteraan dua hala Amerika-Thai.

Ia diperluaskan lebih sedekad lepas dengan penyertaan negara lain seperti Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Malaysia dan Singapura untuk meningkatkan matlamat bersama dan komitmen keselamatan mereka di rantau Asia Pasifik.

Angkatan tentera dari 20 negara lain turut menghantar pemerhati ke eksesais itu yang bermula semalam dan berakhir pada 21 Feb.

Kemuncak eksesais itu termasuk demonstrasi serangan darat dan air melibatkan jet pejuang, helikopter, pesawat pendarat dan bot kecil, operasi pemindahan bukan penempur pelbagai hala, gabungan eksesais tembakan senjata: dan latihan peperangan hutan, kimia, biologi, radiologi dan nuklear.

Charlem berkata Ketua Polis Wilayah 5 Lt Jen Suthep Detraksa memantau rapi perkembangan itu.

Ditanya sampai bila pihak berkuasa akan diletak dalam keadaan berjaga-jaga, beliau berkata: "Hingga eksesais ini berakhir. Kami perlu berhati-hati. Kami mesti melakukan yang terbaik (dalam menangani ancaman ini)."

Timbalan perdana menteri percaya perkembangan terkini itu tidak akan menjejaskan industri pelancongan Thailand.

- Bernama

ADS