Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelakon dan personaliti radio, Patrick Teoh memberi keterangan kepada polis berhubung tulisannya dalam laman sosial Facebook yang didakwa menghina Islam.

Beliau memberi keterangan di ibu pejabat polis Ampang Jaya pada 6 Februari lalu kira-kira jam 11 pagi, menurut sumber polis yang mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini pagi ini.

 

Sumber polis itu berkata selebriti tersebut, yang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, hadir bersama peguamnya memberi keterangan selama lebih satu jam.

Seksyen itu memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

 

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada lima tahun jika sabit kesalahan.

 

Tulisan yang mencetus rasa kurang senang pengguna laman sosial itu, pada petengahan Januari lalu, merupakan kritikan ke atas garis panduan pentadbiran PAS Kedah berhubung persembahan sempena Tahun Baru Cina.

Beliau bagaimanapun memohon maaf atas tindakannya itu dan membuang tulisan yang disulami kata-kata kesat dan lucah tersebut.

Tulisan tersebut mengundang pelbagai kritikan keras termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata walaupun Teoh memohon maaf setelah menyedari kenyataannya mendapat kecaman banyak pihak, ia tidak boleh diterima begitu sahaja, tanpa ada tindakan susulan yang lebih tegas.

ADS