Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan: NGO Kelantan dakwa 'haram' sokong PAS
Diterbitkan:  Feb 13, 2013 1:35 PM
Dikemaskini: Feb 14, 2013 12:16 AM

Beberapa NGO Kelantan yang kurang dikenali hari ini mendakwa undi kepada PAS dalam pilihan raya umum akan datang merupakan perbuatan "haram".

Dakwaan itu dibuat dalam satu "perisytiharan" oleh kumpulan yang dikenali dengan nama Minda Pondok, Mustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Ummati), Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (Icik) dan PENDITA, menurut laporan Utusan Malaysia.

Perisytiharan berkenaan, menurut laporan akhbar milik Umno itu, akan disediakan dalam satu dokumen yang didakwa akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Kumpulan berkenaan juga mendakwa usaha menentang PAS merupakan "jihad" kerana parti tersebut menyokong DAP "yang merupakan parti cauvinis yang menolak Islam dan memperjuangkan sekularisme."

Ia antara lainnya memetik kenyataan seorang guru pondok Abdullah Sa'amah yang membangkitkan mengenai tindakan PAS yang didakwa "gagal mempertahankan Islam terutama penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam".

Ia turut memetik kenyataan ahli jawatankuasa Minda Pondok Mohd Syamsul Mohd Yusoff yang mendakwa kerjasama politik antara PAS dan DAP adalah haram.

"Sebelum bertahaluf siyasi, perjuangan PAS adalah menubuhkan negara Islam, ingin melaksanakan hudud, persaudaraan sesama Islam.

"Tetapi selepas itu matlamat meerka berubah iaitu mahu kerajaan berkebajikan, hudud bukan lagi agenda utama dan mendoakan kemusnahan sesama Islam," katanya.

ADS