Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini menyerahkan surat kepada Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin untuk mencabar menteri wilayah persekutuan dan kesejahteraan bandar itu untuk berdebat dengannya.

Setiausaha politik Nurul Izzah, Fahmi Fadzil berkata surat yang diserahkan ke pejabat Raja Nong Chik di Putrajaya itu mencabar menteri tersebut untuk hadir ke acara debat tersebut di perkarangan Apartmen Pantai Permai, Pantai Dalam pada 24 Februari.

Surat berkenaan dikemukakan kepada Raja Nong Chik walaupun ketua Umno Lembah Pantai itu telahpun menolak secara lisan cabaran untuk debat dengan Nurul Izzah.

Beliau sebelum ini memberi alasan, tiada keperluan untuk berbuat demikian memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

Fahmi bagaimanapun berkata, cabaran itu tetap dikemukakan memandangkan Raja Nong Chik membuat tohmahan kononnnya Nurul Izzah tidak menunaikan tanggungjawab di kawasan parlimen tersebut.

"Raja Nong Chik ada mengungkit yang YB Nurul Izzah sebagai ahli parlimen Lembah Pantai tidak membawa apa-apa kebaikan dan pembangunan kepada Lembah Pantai.

"Tohmahan ini sangat serius kerana apabila kita teliti rekod lampau, banyak perkara yang telah diselesaikan YB Nurul Izzah.

"Tohmahan ini tidak dibuat dalam keadaan debat, seolah-olah beliau (Raja Nong Chik) ada ruang sepenuhnya dalam media arus perdana tanpa respons dari YB Nurul Izzah," kata Fahmi ketika dihubungi Malaysiakini.

Surat berkenaan diterima oleh penolong ketua setiausaha kementerian tersebut, Khalilul Rahman Kamaruzaman sekitar jam 11 pagi tadi, katanya.

Menurutnya lagi, debat itu akan dimudah cara seorang ahli akademik yang akan dipersetujui kedua-dua pihak dan antara isu yang akan diperdebatkan adalah isu setempat serta wacana peringkat nasional.

ADS