Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saudagar permaidani Deepak Jaikishan memohon imuniti daripada sebarang dakwaan undang-undang sebagai galang ganti untuk mendedahkan "lebih banyak maklumat berkaitan salah guna kuasa dan rasuah perdana menteri".

Permohonan itu dibuat Deepak dalam satu surat rasmi yang diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail di Putrajaya sekitar jam 12 tengahari tadi.

Dalam surat tersebut, Deepak menyatakan kesediaannya untuk menyalurkan maklumat lanjut berkenaan salah guna kuasa pemimpin tinggi negara itu kepada mana-mana pihak berkuasa .

"Saya bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi penguatkuasa untuk memberikan maklumat lanjut mengenai penglibatan perdana menteri di dalam penyalahgunaan kuasa yang melibatkan keluarga beliau dengan syarat saya diberikan perlindungan daripada sebarang dakwaan jenayah dan diberikan 'certificate of immunity'," kata Deepak dalam surat itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Deepak berkata surat itu diterima seorang wakil kepada  Tan Sri Mohd Gani Patail yang hanya dikenali sebagai Haji Nasaruddin.

Menurutnya, beliau memberikan masa sehingga 11 Mac depan - yang merupakan tarikh hari jadinya - untuk Peguam Negara memberi maklum balas kepada permohonan beliau itu.

Beliau turut ditemani Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sewaktu menyerahkan surat itu.

Deepak sebelum ini mendakwa menjadi orang tengah dalam akuan bersumpah kedua penyiasat P Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan Altantuya.

Beliau turut membuat beberapa lagi dakwaan salahlaku terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, Najib telah menafikan semua dakwaan Deepak dan menyifatkannya sebagai tiada asas dan tidak boleh dipercayai.

 

 

 

 

ADS