MB: K'jaan S'gor sedia dengar penjelasan Dolomite

Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri Selangor sedia untuk mendengar penjelasan daripada pihak pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd tentang kontroversi pembinaan kondominium Park Avenue di Baru Caves.

Katanya, pemaju kondominium itu boleh bertemu pihak berkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk memberi penjelasan.

"Dolomite mempunyai inisiatif sendiri sebab untuk dapat kelulusan dan perancangan perlu dibuat melalui pihak berkuasa tempatan Selayang. Jadi apa yang perunding Dolomite nak terangkan dia boleh berikan kepada MPS.

"Dan jika perlu, MPS akan kemukakan pandangan mereka untuk dibincangkan di mesyuarat perancang negeri," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Beliau ditanya mengenai hasrat pemaju tersebut, yang menegaskan bahawa pembinaan kondominium itu selamat dan tidak akan memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

Pemaju berkenaan kecewa kerana keputusan itu dibuat semata-mata dengan syor jabatan perancang bandar dan desa mengenai status pembinaan struktur dan bangunan berkenaan.

Pengarah urusan syarikat tersebut, Lew Choong Keong pada 25 Januari lalu dilaporkan berkata, mereka sebelum ini cuba bertemu menteri besar dan pihak berkuasa berkaitan tetapi tidak diberi peluang untuk mengemukakan penjelasan mereka.

Kontroversi berhubung pembinaan kondominium itu timbul susulan bantahan daripada sekumpulan masyarakat India yang mahu projek tersebut dihentikan.

Manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga sebelum ini turut berjanji akan membatalkan projek itu sekiranya BN berjaya merampas Selangor.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.