Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menjadi pencelah dalam saman perundangan mencabar keputusan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) meruntuhkan tiang kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di kawasan perbandaran itu.

    

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusuf berkata Jabatan Peguam Negara mempunyai hak untuk mengikuti kes itu kerana ia melibatkan kepentingan awam.

    

Beliau berkata pemohon (Jabatan Peguam Negara) juga mempunyai hak untuk mencelah dalam perkara itu berikutan kerajaan Persekutuan mempunyai hak dan bidangkuasa.

    

Zaleha menetapkan esok untuk perbicaraan.

    

Pada 12 Disember tahun lepas, syarikat pengendali AES, Beta Tegap Sdn Bhd, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan MPS dan susulan itu mendapat kebenaran di Mahkamah Tinggi pada 19 Dis.

    

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Beta Tegap menyatakan menerusi sepucuk surat bertarikh 19 Nov lalu, MPS memutuskan syarikat perlu memohon kebenaran untuk pemasangan tiang dan kamera AES di KM301.7, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah ke Kuala Lumpur berhampiran ibu pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia dan di KM6.6, lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) arah ke Kajang, berhampiran stesen Minyak Shell Taman Suria Tropika. Kedua-duanya di Dengkil, Sepang.

    

MPS menerusi surat bertarikh 6 Dis lalu mengarahkan syarikat itu meruntuhkan tiang AES dan menutup kamera AES serta merta dalam tempoh 14 hari dari notis tersebut.

    

Beta Tegap, diwakili peguam Kevin Jeyakumar, menamakan MPS sebagai satu-satunya responden.

    

Syarikat itu memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan MPS dan pengisytiharan bahawa  MPS tidak mempunyai bidang kuasa di dua lebuh raya itu.

    

- Bernama

ADS