Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Kerajaan Selangor akan menghantar surat tawaran kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) pada minggu depan berhubung hasrat untuk mengambil alih perkhidmatan air di negeri itu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau juga berharap agar kerajaan Persekutuan selaku pemegang saham emas di dalam SYABAS dapat menggunakan kuasanya untuk memastikan syarikat konsesi air itu menerima tawaran kerajaan negeri.

"Kita sudah menyediakan surat tawaran kepada syarikat konsesi dan kita berharap mereka tidak menjadikan faktor harga sebagai alasan untuk menolak tawaran ini. Kita berulang kali menyatakan bahawa, syarikat konsesi boleh membawa perkara ini kepada Timbangtara Antarabangsa bagi mendapatkan pampasan yang sewajarnya.

"Dokumen akan dihantar pada minggu depan dan akan dihebahkan pada masyarakat juga.

"Saya tak boleh sebut (harga tawaran) sebab harga ini sensitif. Sebagai pemegang "golden share" yang ada kuasa, saya harap dia (kerajaan persekutuan) tidak akan tak setuju. Sebab dia sudah pun bersetuju apabila undang-undang itu dibentangkan di Parlimen pada 2006.

"Kalau masih tak setuju, kita akan meminta semakan kehakiman tentang keputusan yang dibuat kerajaan Persekutuan," kata Khalid.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat exco di Shah Alam hari ini.

Pada 30 Januari lalu, Khalid berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui untuk memaklumkan tentang pengambilalihan perkhidmatan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari.

Beliau berkata, pengambilalihan perkhidmatan industri air akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya pihak kementerian tidak memberi sebarang maklum balas.

Pada 31 Januari pula, Peter berkata, kerajaan Selangor perlu berunding sendiri dengan syarikat konsesi air jika ia mahu mengambil alih perkhidmatan air di negeri itu dengan berlandaskan persetujuan pembeli dan penjual.

Sehubungan itu, Khalid berkata lagi, untuk mengambil alih perkhidmatan air di Selangor, ia melibatkan perjanjian tiga pihak iaitu SYABAS, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Oleh itu, beliau berharap agar kerajaan persekutuan dapat bertindak secepat mungkin bagi menyelesaikan isu penyusunan industri air di Selangor.

"Tempoh 14 hari untuk kerajaan persekutuan memberi maklum balas kepada hasrat kerajaan negeri Selangor mengambil alih perkhidmatan air akan tamat minggu depan. Oleh itu kita menyeru kerajaan persekutuan bertindak secepat mungkin memandangkan isu penyusunan industri air ini melibatkan kepentingan rakyat.

ADS