Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banduan ikut pengajian di universiti terbuka

Kehidupan di dalam penjara tidak mematahkan semangat enam penghuni untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di sebuah universiti tempatan.

Ketua Seksyen Pemulihan dan Rawatan, Darussalam Budin berkata penghuni Penjara Kajang itu yang sedang menjalani hukuman jangka panjang akan memulakan pengajian dalam bidang Sarjana Pengajian Perniagaan (MBA) bulan depan bagi kemasukan 2013/2014 di Open Universiti Malaysia (OUM).

Beliau berkata sesi pengajian akan diadakan dua kali sebulan melalui pengajian jarak jauh dan mereka akan mengikuti pengajian tersebut di dalam penjara.

"Kumpulan yang mengikuti Sarjana ini merupakan yang pertama dan kita membuka peluang kepada sesiapa sahaja penghuni penjara yang berminat dan berkelayakan," katanya kepada Bernama ketika ditemu bual di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia (JPM) di Kajang.

Sebelum ini, seramai 14 penghuni di penjara berkenaan sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah dalam bidang pengurusan perniagaan, manakala empat penghuninya melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dalam bidang Teknologi Maklumat di universiti yang sama, sejak 2008.

Darussalam berkata biarpun tiada dalam program pemulihan, namun pihak penjara yakin kaedah pendidikan itu dapat membantu penghuni membentuk sahsiah dan jati diri mereka.

Sehubungan itu, JPM akan memperluas tawaran melanjutkan pengajian itu di semua zon penjara seluruh negara.    

Katanya Jabatan Penjara dengan kerjasama Kementerian Pelajaran juga menawarkan kepada penghuni yang berminat untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata sesi pendaftaran untuk SPM dibuka sehingga Mac ini.

"Setakat ini sambutan amat mengalakkan. Ini akan membantu mereka mempunyai masa depan yang lebih terjamin dan boleh berdikari apabila dibebaskan kelak," katanya.

- Bernama

ADS