SPR kata FCAS belum sah jadi pemerhati p'raya

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Federation of Chinese Association of Sabah (FCAS), yang didakwa berkempen untuk BN, hanyalah NGO biasa kerana pelantikannya  sebagai pemerhati pilihan raya masih belum berkuat kuasa.

"Pelantikan mereka belum berkuatkuasa lagi. Hanya berkuatkuasa syarat-syarat yang dikenakan bila Parlimen dibubarkan hingga tamat pilihan raya.

"Sekarang ini mereka seperti NGO biasa," katanya lagi dalam satu kiriman SMS kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, ia tidak bermaksud bahawa FCAS boleh berkempen atau menyatakan sokongan kepada parti tertentu sebelum kempen pilihan raya berlangsung, katanya.

"Tidak, mereka bukan parti politik," katanya lagi ketika ditanya lanjut.

BERSIH Sabah membuat gesaan berkenaan awal bulan ini berdasarkan laporan akhbar The New Sabah Times yang memetik kenyataan pemimpin FCAS, TC Goh.

Goh dalam ucapan sempena Tahun Baru Cina itu, menurut laporan muka depan tersebut, memuji Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman atas prestasi yang ditunjukkan.

Beliau turut menggesa masyarakat agar terus menyokong ketua menteri dan kerajaan negeri dalam pilihan raya umum akan datang.

Laporan itu diterbitkan sehari selepas SPR melantik FCAS secara rasmi sebagai salah satu daripada tiga pemerhati tempatan dalam pilihan raya umum ke-13 di Sabah dan Labuan.

Dua lagi badan yang turut dilantik itu adalah Persatuan Sejarah Malaysia dan Majlis Belia Sabah.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.