AirAsia tawar 10,000 tempat duduk percuma

Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Bhd menawarkan 10,000 tempat duduk percuma untuk tempahan ke destinasi
di semenanjung, Sabah dan Sarawak pada Jumaat bagi perjalanan 1-30 April.
    
Tempat duduk percuma berkenaan hanya sah bagi penerbangan dari Kota Kinabalu, Kuching, Labuan, Sandakan, Miri, Tawau, Sibu, Bintulu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
    
Tempat duduk percuma itu tidak ditawarkan bagi penerbangan domestik dalam semenanjung atau Sabah dan Sarawak, demikian menurut AirAsia dalam satu kenyataan.
    
Tempahan bagi tempat duduk percuma itu dibuka kepda semua rakyat Malaysia dengan MyKad semalam 24 jam bermula 12.01 pagi 15 Februari.
    
Bagaimanapun, cukai lapangan terbang akan dikenakan, walaupun tambang dan surcaj bahan api diketepikan.
    
"Peruntukan bagasi, makanan dalam penerbangan, pilihan tempat duduk dan perkhidmatan nilai tambah lain juga tidak termasuk dalam tambang murah berkenaan," katanya.
    
Tawaran berkenaan merupakan sebahagian program 'Integrasi 1Malaysia dengan  AirAsia' yang dilancarkan awal bulan lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.