BERSIH: Serangan SPR pada Ambiga kenyataan 'jahat'

BERSIH membidas kenyataan timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang disifatkan "jahat dan tidak bertanggungjawab" kerana menyerang pengerusi bersamanya Datuk S Ambiga dengan dakwaan "meracuni pemikiran orang ramai dengan perkara palsu".

Gabungan NGO itu juga berpendapat, kenyataan Wan Ahmad itu bertujuan mengalih pandangan orang ramai tentang perkara yang ditimbulkan oleh kumpulan masyarakat madani dan pandangan umum tentang keperluan reformasi pilihan raya.
 
"Semenjak BERSIH 2.0 dilancarkan dalam tahun 2010 sebagai kumpulan masyarakat madani yang tidak berpihak, BERSIH 2.0 telah terus menerus menuntut dilakukan reformasi untuk mewujudkan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.   
 
"Dari kes Likas tahun 2001 hingga ke kajian Merap (Malaysian Electoral Roll Analysis Project), ditambah pula dengan kenyataan saksi Siasatan diRaja Sabah membuktikan bahawa tuntutan BERSIH 2.0 adalah berasaskan fakta," kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu juga menyebut BERSIH menerima rungutan dari orang ramai, termasuk dari warga di luar negara berhubung dakwaan penipuan pilihan raya, keganasan ketika berkempen hingga tatacara mengundi pos yang didakwa tidak jelas.

NGO itu berkata saranan supaya orang ramai percaya kepada SPR tidak kena pada tempatnya kerana dakwaan "kekusutan dan kacau bilau" dalam sistem pemilihan yang sedia ada telah ditimbulkan kajian Merap dan disahihkan melalui "Ops Durian Buruk".

"Dalam suasana ini tidak mungkin SPR ada wibawa untuk menuduh orang lain menyebar ajaran 'jangan percaya'. Orang ramai boleh berfikir sendiri sama ada mereka percaya atau tidak terhadap sistem pilihan raya yang ada sekarang," kata kenyataan itu.

Wan Ahmad dilapor memberi amaran kepada Ambiga supaya tidak menjadi perosak kepada kelancaran proses pilihan raya umum yang akan datang susulan Ambiga mahu pengundi luar negara pulang menunaikan tanggungjawab mereka dan tidak menggunakan undi pos.

Beliau menyifatkan kenyataan pemimpin NGO itu sebagai boleh mengelirukan dan menghakis keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi di negara ini.

NGO itu turut mengingatkan SPR bahawa kumpulan masyarakat madani sedia membantu membersihkan senarai pengundi dan menggesa suruhanjaya itu memulakan perbincangan rasmi dengan semua pihak yang berkepentingan antaranya MyOverseasVote dan parti politik untuk menyelesaikan masalah tatacara undi pos.

"Usaha kami untuk membawa orang ramai kearah melahirkan satu sistem pilihan raya yang bersih dan adil adalah langkah pertama untuk mengembalikan keyakinan umum terhadap pilihan raya.

"Memperkasa pengundi untuk percaya terhadap lembaga yang diwujudkan ini akan memastikan sistem ini boleh diyakini. Maklumat dan pemantuan pilihan raya adalah sebahagian dari proses ini," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.