Bungkus heroin macam burger, penganggur ditahan

Seorang penganggur didapati menggunakan taktik membungkus dadah yang hendak diedarnya seperti membungkus burger bagi mengelak perbuatannya itu dikesan pihak berkuasa.
    
Pemuda yang berumur 27 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Machang Bubok di Bukit Mertajam dua hari lau hasil maklumat awam dan risikan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Azman Abd Lah berkata pihaknya percaya dadah dibungkus dengan pembalut burger supaya ia mudah dibawa dan orang tidak mengesyakinya serta bagi mengelak dikesan polis.
    
"Polis menahan lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu di hadapan rumahnya dan bersamanya kita menemui dua paket kecil dadah yang dipercayai untuk dijual kepada pelanggannya.
    
"Hasil pemeriksaan di dalam rumahnya, kita menemui beberapa bungkusan dadah jenis heroin seberat 1.47 kilogram bernilai RM75,000 yang dibungkus menggunakan kertas pembalut burger," katanya kepada pemberita hari ini.
     
Azman berkata suspek disyaki mengedar dadah sejak beberapa bulan lepas dan pembelinya terdiri daripada penagih di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT).

Dia direman sehingga 20 Februari ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.
    
Beliau juga berkata lapan lelaki termasuk seorang warga Myanmar ditahan dan polis merampas sejumlah dadah dalam beberapa operasi berasingan di sekitar SPT sejak awal tahun ini.
    
Sementara itu Azman meminta bantuan orang ramai bagi mengesan dua lelaki berhubung beberapa kes samun di sekitar SPT sejak beberapa bulan lepas.

Mereka ialah Mohamad Azafizal Abd Manap, 25, alias Mat Poling beralamat terakhir di No 10492, Lorong 4, Padang Cempedak, Tasek Gelugor dan R.Ravisankar, 22, dari No 13, Jalan Parit Buntar, Batu 8 1/2, Bagan Serai, Perak.
     
Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Suriman Shahrim di talian 04-5382222 sambungan 2446 atau 012-4188669 atau mana-mana balai polis berdekatan.

- Bernama


 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.