Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penahanan senator 'langgar protokol antarabangsa' - Anwar
Diterbitkan:  Feb 16, 2013 3:45 PM
Dikemaskini: 11:55 AM

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penahanan dan pengusiran Senator Australia, Nick Xenophon sebagai satu salahguna kuasa dan "melanggar protokol antarabangsa".

"Saya mengecam sekeras-kerasnya penahanan Xenophon di LCCT yang dikatakan menjadi ancaman keselamatan dan dilabelkan sebagai 'musuh negara'.

"Tuduhan itu tidak berasas sama sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar (kiri) mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak bahawa beliau tidak mempunyai hak untuk melayan pelawat sebagai musuh negara semata-mata kerana mereka kritikal terhadap pentadbiran yang diterajui Umno pimpinannya.

"Malaysia bukan milik Umno. Ia milik semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik."

Ketua umum PKR itu menegaskan walaupun Xenophon telah membangkitkan kebimbangan terhadap ketelusan pilihan raya umum akan datang, tetapi beliau tidak melanggar mana-mana undang-undang atau berkelakuan dengan cara yang boleh dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

"Tambahan pula, dia berada di sini dan kemudiannya akan disertai ahli parlimen Australia yang lain untuk mengadakan perbincangan dengan kami serta pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Sebab-sebab ini tidak boleh menjadi alasan untuk menyenaraihitamnya.  Tindakan menahan dan pengusiran yang dicadangkan atas sebab-sebab partisan politik  adalah satu penyalahgunaan kuasa.

"Ia juga jelas melanggar protokol antarabangsa dalam melayan kedatangan ahli parlimen dari luar negara, terutamanya dari negara-negara anggota Komanwel," katanya.

Anwar menggesa supaya Xenophon dibebaskan serta-merta dan dibenarkan masuk ke negara ini tanpa halangan.

Kemudiannya, ketika ditemui di rumah terbuka Tahun Baru Cina anjura PKR Batu di Jinjang Selatan, Anwar berkata, keputusan untuk menahan Xenophone itu merupakan keputusan berunsur politik.

"Ini adalah keputusan politik. Nasihat saya kepada imigresin, mereka perlu tahu apa tanggungjawab mereka. Saya bukan mahu mengkritik mereka.

"Tetapi saya tahu, mereka bukan buat keputusan sendiri. Tetapi arahan yang berunsur politik," katanya.

Pagi tadi, Nick Xenophon telah ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan sedang menunggu untuk dihantar pulang kerana didakwa menjadi "musuh negara".

Senator bebas itu adalah sebahagian daripada delegasi empat anggota Australia yang mengambil inisiatif untuk meneliti sistem pilihan raya Malaysia

Delegasi itu dijadualkan bertemu dengan Anwar pada hari Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz pada hari Selasa, serta NGO lain dan ahli parlimen pembangkang.

Menurut Anwar lagi, sebagai sebuah negara demokrasi, Xenophone tidak wajar dihalang untuk memasuki negara ini.

Anwar berkata lagi, dengan menghalang pemerhati bebas itu, ia menunjukkan negara ini belum bersedia untuk mengadakan pilihan raya umum yang bersih.

"Kita ada kebebasan untuk ke mana-mana negara. Australia, Turki dan mana-mana sahaja. Kenapa di Malaysia tidak? Adakah kerana Najib takut dengan pemerhati bebas?

"Bila pemerhati bebas itu datang untuk kebenaran, dia tak mahu beri. Sedangkan program dia bukan nak jumpa saya sahaja tetapi berjumpa Nazri dan beberapa yang lain juga.

"Perkara ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak bersedia untuk menerima pemerhati bebas dan menjalani proses (pilihan raya) yang bersih. Kenapa terlalu bimbang? Sebab ada benda yang nak disembunyikan?" Kata Anwar lagi.

ADS