Mahathir: Bahaya jika media alternatif tak dikawal

Kebebasan yang ditawar media alternatif menerusi Internet telah menimbulkan beberapa situasi yang menyaksikan pembohongan boleh dilihat sebagai kebenaran dan sebaliknya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata menerusi media alternatif, sesiapa sahaja boleh memuat naik sebarang kenyataan yang mereka suka secara langsung di Internet, tanpa sebarang kawalan kerana tidak ada pengurus, editor atau penyunting untuk mengubah isi kandungannya.

"Bahasa kesat dan berbaur perkauman juga menyebabkan ketegangan semakin meningkat di kalangan masyarakat. Segala jenis tuduhan dibuat tanpa sebarang asas. Ketika ini, kita boleh melihat klip video yang telah diubah, dimuat naik dalam YouTube," kata beliau dalam entri terbaharu blognya.

Dr Mahathir merujuk klip video yang menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyoal khalayak di Pulau Pinang baru-baru ini sama ada mereka bersedia untuk BN (BN), yang seolah-olah dijawab dengan perkataan 'Tidak'.

"Kini didapati perkara itu dilakukan dengan membawa satu kumpulan yang dilengkapi kamera video dan mikrofon ke dalam khalayak. Apabila PM menyoal 'Adakah anda bersedia untuk BN', kumpulan ini menjeritkan 'Tidak' sebagai respons.

"Ia kelihatan seolah-olah keseluruhan khalayak menjeritkan perkataan 'Tidak'. Walhal hanya satu kumpulan ini yang menjeritkan 'Tidak' kepada mikrofon mereka. Perkataan 'Ya' daripada sekumpulan besar khalayak lagi tidak dirakam dan dimasukkan dalam klip video yang dimuat naik di YouTube.

"Rakaman ini segera dimuat naik ke YouTube dan merebak ke blog lain. Meskipun terdapat video lain, yang menunjukkan khalayak mengangkat tangan dan menjeritkan perkataan 'Ya', dimuat naik dalam YouTube selepas itu, kebanyakan orang tidak mempedulikannya. Mereka terus mempercayai klip video palsu ini," katanya.

Menyedari perkara ini adalah hasil langsung kebebasan yang ditawar media alternatif, Dr Mahathir berkata, "Kebebasannya hampir mutlak."

Dr Mahathir berkata meskipun media alternatif memberi kebebasan kepada semua orang untuk menghebahkan apa sahaja yang mereka suka, penggodam dan yang lain juga boleh menyekat entri sesiapa yang mereka pilih.

"Setakat ini, saya sendiri terpaksa menukar lima laman untuk blog saya kerana entah bagaimana ia diusik sehingga menyebabkan orang ramai tidak boleh mengakses blog saya, dan saya berjaya disenyapkan.

"... Namun saya tidak boleh berbuat apa-apa untuk menghentikan orang yang mungkin ingin menghalang kebebasan saya menerusi media alternatif," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.