Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua kumpulan samun di Manjung ditembak mati

Seorang lelaki yang dipercayai ketua kumpulan samun ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Manjung dekat Ipoh, semalam.

Lelaki berusia 25 tahun itu juga amat dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes samun kereta mewah dan kes bunuh di Sitiawan.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam berkata polis mengesan lelaki itu menaiki kereta Naza Citra berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 4 pagi.

"Polis mengekori kereta itu dan cuba menahannya berhampiran Kampung Baru menghala ke Sungai Wangi, Ayer Tawar, tetapi suspek enggan memberhentikan kereta, sebaliknya memecut sebelum keretanya terbabas.

"Suspek kemudian keluar dari kereta dan melepaskan tembakan ke arah kereta polis menyebabkan cermin hadapan kereta polis pecah," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal polis percaya kereta yang digunakan lelaki terbabit adalah kereta curi kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol revolver .38 Smith & Wesson berisi tiga butir peluru, sebilah parang panjang, satu paket kecil lutsinar mengandungi dadah jenis syabu, lesen memandu dan beg silang milik suspek.

Paramasivam berkata lelaki itu mempunyai rekod empat kes jenayah lampau iaitu tiga kes melibatkan dadah dan satu kes bunuh.

Beberapa anggota kumpulannya telah ditahan tahun lepas dan polis akan memburu saki baki anggota kumpulan itu, katanya.

-Bernama

ADS