Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Fuad Hassan menyifatkan pertubuhan bukan kerajaan yang berdiam diri dalam kes pembalakan rakus di kawasan Tasik Pedu dan Gunung Inas di Kedah, sebagai bacul dan tidak profesional.

Beliau hairan NGO seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) bising mengulas kes pembalakan di Sarawak dan Sabah sebelum ini tetapi tidak pula mengumumkan kepada dunia dan membuat heboh apabila ia berlaku di Kedah dan Kelantan.

"Mereka tidak tegur atau kritik kerajaan (yang dipimpin PAS) Kedah walhal segalanya yang membabitkan kerajaan pusat dipolitikkan, seolah-olah tiada langsung sikap patriotisme mereka.

"Saya syak NGO-NGO ini ada persefahaman dengan pihak-pihak yang hendak melihatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) jatuh," katanya semasa berucap pada program 'Santai Orang Muda' bersama beliau di Alor Setar, semalam.

Lebih 200 orang muda mewakili NGO, gerakan dan persatuan belia serta wakil-wakil persatuan pelajar seluruh Kedah menghadiri program itu.

"Sikap dwi-standard NGO-NGO ini boleh diteka kerana agenda mereka selari dengan agenda NGO asing yang mungkin membiayai pergerakan mereka di Malaysia," kata Fuad.

Beliau menasihatkan golongan muda mengambil peduli dan berfikir panjang terhadap setiap perkembangan yang berlaku supaya tidak mudah dipengaruhi pihak tertentu.

Katanya golongan muda dan pelajar telah lama dipergunakan oleh pemimpin yang mempunyai agenda tersembunyi seperti demonstrasi pelajar di Baling pada 1974.

"Dalam kes itu sebenarnya tiada pun orang yang mati kelaparan tetapi kerana pelajar dipergunakan oleh (kini ketua pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim, boleh dikatakan hari-hari berlaku demonstrasi di kawasan universiti.

"Anwar mengajar rakyat membuat demonstrasi sejak lama dulu. Kita sepatutnya bertanya mengapa harus diadakan demonstrasi. Sebab itu saya mahu golongan muda hari ini berfikir dengan lebih terbuka.

"Pilihan raya umum ke-13 kali ini menyaksi 2.8 juta pengundi baharu. Daripada jumlah itu kira-kira sejuta ialah pengundi bawah umur 25 tahun. Saya harap mereka membuat keputusan tepat," katanya.

-Bernama

ADS