Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seramai 869 bekas anggota polis zaman darurat di daerah Baling telah didaftar untuk menerima sumbangan RM3,000 daripada kerajaan persekutuan melalui Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP).

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata 708 orang daripadanya sudah menerima cek sumbangan itu manakala cek 161 orang lagi sedang disiapkan pihak pengurusan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Skim Pampasan Bencana Kerja Ex Gratia dan Bantuan Persekolahan Untuk Balu dan anak-anak Polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Baling hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad menyampaikan bantuan skim pampasan bencana kerja  ex gratia berjumlah RM91,938.97 kepada bekas anggota polis, Azlan Abd Rahman yang mengalami kemalangan ketika bertugas.

Beliau turut menyampaikan bantuan kematian anggota Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjumlah RM1,000 kepada Noraishah Zakaria, 40, balu anggota polis Md Said Shaie dari Balai Polis Tawar yang meninggal dunia  baru-baru ini akibat sakit jantung.

Bantuan persekolahan untuk anak yatim dari tabung kebajikan PDRM berjumlah RM350 hingga RM600 diberi kepada tiga balu anggota polis pada majlis itu.

Sementara itu, Azlan, 40, yang cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan motosikal ketika bertugas berterima kasih pada pihak atasan PDRM, kerana tidak melupakan penderitaannya yang terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan.

"Saya amat terharu dengan sumbangan yang diterima selama ini daripada pihak PDRM dan rakan-rakan yang terus memberi sokongan semangat kepada saya," katanya.

Noraishah pula berkata sumbangan yang diterima itu mampu meringankan beban  persekolahan anak-anaknya selepas ketiadaan suami.

- Bernama

ADS