KDN tapis babak 'sensitif' filem Vishwaroopam

Kementerian Dalam Negeri hari ini membenarkan semula penayangan filem kontroversi 'Vishwaroopam' selepas menjalankan tapisan lanjut ke atas babak yang didakwa sensitif dan menghina masyarakat Islam.

Pengerusi lembaga penapis filem kementerian itu, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut berpuas hati dengan tapisan baru itu.

"Berasaskan kepada ulasan dan pandangan semua pihak, kementerian ini bersetuju supaya filem Vishwaroopam dibenarkan untuk tayangan di pawagam negara ini.

"Kebenaran ini dibuat dengan syarat pihak pengedar mematuhi sepenuhnya keputusanyang ditetapkan oleh LPF iaitu mengenai potongan tambahan yang perlu dibuat ke atas filem tersebut.

"Penarikan semula arahan penangguhan tayangan ini adalah berkuat kuasa pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Raja Azahar berkata KDN mengadakan pertemuan sebanyak dua kali bersama Jakim untuk menilai semula kandungan filem tersebut.

Vishwaroopam, yang merupakan sebuah filem Tamil lakonan Kamal  Hassan mencetuskan kontroversi kerana didakwa menghina komuniti Islam.
    
Filem itu ditayangkan pada 24 Januari lepas di negara ini tetapi ditarik balik pada hari berikutnya ekoran satu arahan daripada pihak KDN setelah menerima aduan daripada NGO, termasuk yang didakwa mewakili masyarakat India Muslim.

TONTON MALAYSIAKINI.TV

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.