Cermin surau pecah akibat ditembak

Cermin di sebuah surau dua tingkat di Taman Aman Perdana, Meru, Klang pecah akibat terkena tembakan oleh individu tidak dikenali malam tadi.
    
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata ketika kejadian pada 8.30 malam, seramai sepuluh jemaah sedang bersedia untuk solat Isyak di tingkat atas surau itu.

Beliau berkata jemaah terkejut apabila terdengar bunyi kaca berderai dan setelah diperiksa cermin surau yang menghadap jalan utama pecah.
    
"Pemeriksaan awal mendapati terdapat dua kesan tembakan yang disasarkan ke arah cermin tersebut," katanya ketika ditemui pemberita pada perasmian program pencegahan jenayah oleh Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah di Setia Alam hari ini.
    
Shukor berkata polis percaya individu yang melepaskan tembakan itu menggunakan pistol angin yang tidak mengeluarkan bunyi dan menggunakan peluru 'ball bearing'.
    
Beliau bagaimanapun berkata tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu.   

Katanya polis sedang menyiasat motif tembakan itu untuk mengenalpasti sama ada ia disasarkan terhadap individu tertentu.
    
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditempatkan di lokasi berhampiran surau berkenaan tidak dapat merekodkan kejadian tembakan tersebut," katanya.    
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.