Polis tahan peniaga berkaitan kes racun haiwan zoo Melaka

Polis Melaka percaya telah menyelesaikan kes meracun Beruang Matahari dan kuda lumba spesies 'Thoroughbred' di Zoo Melaka dan Safari Malam di sini berikutan penangkapan seorang lelaki berusia 65 tahun awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata pasukan khas polis yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu menahan lelaki terbabit yang merupakan seorang peniaga kira-kira 1 pagi ini di sebuah taman perumahan di Kulai Besar, Johor.

zoo melakaBeliau berkata polis turut merampas sebuah kenderaan dan beberapa barangan berkaitan dengan perbuatan jenayah itu.

"Dalam siasatan awal, suspek mengaku melakukan perbuatan itu, namun terlalu awal untuk mendedahkan motif perbuatannya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Raja Shahrom berkata lelaki terbabit bukan pekerja zoo dan dipercayai datang ke tempat pelancongan itu bagi melakukan jenayah berkenaan.

Beliau berkata hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan zoo itu menunjukkan lelaki terbabit berada dalam keadaan mencurigakan sebelum polis bertindak mengesannya.

Lelaki terbabit ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membunuh atau mencederakan haiwan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beruang betina berusia lingkungan 14 hingga 16 tahun itu ditemui mati jam 5 petang Ahad lepas manakala kuda lumba berumur 17 tahun yang diberi nama 'Basket' pula ditemui mati 7 pagi keesokannya disyaki diracun melalui makanan.

- Bernama

 

1. Beruang dan kuda Zoo mati diracun, polis syak orang dalam

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.