Mahkamah Tinggi benar kamera AES dipasang di PLUS, SKVE

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) tidak mempunyai kuasa ke atas Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
   
Hakim Datuk Zaleha Yusuf turut membenarkan syarikat pengendali kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) Beta Tegap Sdn Bhd memasang kamera AES di dua lebuh raya itu.
   
Hakim Zaleha berkata Plus dan SKVE berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.
   
Pada 19 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Beta Tegap bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan MP Sepang yang difailkan 12 Disember lepas.  
   
Dalam permohonan itu, Beta Tegap mendakwa MP Sepang, menerusi sepucuk surat bertarikh 19 Nov tahun lepas, memutuskan syarikat berkenaan perlu memohon kebenaran untuk memasang tiang dan kamera AES di Kilometer 301.7 Lebuhraya Utara Selatan dan Kilometer 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan, kedua-duanya di Dengkil, Sepang.
   
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.