K'jaan S'gor arah MPS rayu kes kamera AES

Kerajaan Selangor mengarahkan Majlis Perbandaran Sepang supaya menyemak nota kehakiman dan memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan syarikat pengendali kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) Beta Tegap Sdn Bhd memasang kamera AES di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

NONEMenteri Besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri kesal dengan keputusan mahkamah tinggi itu, bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa terhadap struktur yang dibina di atas jalan persekutuan.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri melihat perkara ini amat serius dan telah merangka beberapa tindakan susulan termasuk mengarahkan kamar Penasihat Undang-undang Negeri Selangor dan Jabatan Undang-undang Majlis Perbandaran Selayang untuk menyemak nota kehakiman dan memfailkan rayuan.

"Pada masa yang sama mana-mana kebenaran pembangunan yang telah diberikan kepada jalanraya dan prasarana persekutuan hendaklah digantung buat sementara waktu sehingga proses rayuan selesai," katanya dalam satu kenyataan.

Khalid mengulas keputusan Hakim Datuk Zaleha Yusuf hari ini yang memutuskan bahawa majlis perbandaran itu tidak mempunyai kuasa ke atas Lebuhraya PLUS dan SKVE.

Menurut Zaleha, lebuhraya PLUS dan SKVE berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.

Dalam kenyataan itu juga, Khalid turut mengarahkan pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor untuk menyediakan senarai cadangan pembangunan persekutuan sama ada lebuhraya atau Prasarana Transit Aliran Ringan (LRT).

Menurutnya, ia bertujuan untuk disemak semula oleh Majlis Kerajaan Negeri bagi memastikan kepentingan rakyat Selangor dan kerajaan negeri terjamin.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.