Perarakan tuntut p'raya adil, bebas di Sabah bermula

VIDEO l 0:50 secs 

Seramai 47 orang menyertai perjalanan selama tiga hari bermula di Tambunan menuju ke Penampang bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil di Sabah.

NONEAktivis, Andrew Ambrose memberitahu, kumpulan perarakan itu mula berkumpul di pekan Tambunan seawal jam 8 pagi dan mula berjalan pada jam 10.45 pagi.

Menurut Andrew, kira-kira 500 orang rakyat Sabah dan beberapa pemimpin daripada DAP, PKR, parti STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) hadir bagi melepaskan perarakan itu.

Tiada wakil BN yang hadir walaupun jemputan telah diberikan, tambahnya.  

Ketika itu, katanya lagi, kelihatan sebuah kereta peronda berhampiran tempat tersebut serta lapan anggota polis beruniform.

Bagaimanapun, tambahnya, mereka hanya memantau dari jauh.

NONE"Sebelum pelepasan, kita adakan taklimat kesihatan dari Mercy Malaysia juga doa dari umat Katolik, Muslim dan Buddha.

"Terdapat juga kira-kira 15 peserta dari Semananjung dari kumpulan Himpunan Hijau turut serta dalam perjalanan ini.

"Buat masa ini tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Kami juga akan berhenti ke hentian pertama pada jam 12.30 petang nanti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Berdasarkan publisiti acara itu, perjalanan dari Tambunan ke Penampang sejauh kira-kira 60 kilometer dengan merentasi banjaran Crocker dan dijadualkan berakhir di Dewan Pegansakan, Penampang pada hari Ahad ini.

NONESehubungan itu, Andrew berkata lagi, acara yang digelar 'Tak Berdiam Lagi- Bangkit dan Jalan' itu juga kini berhenti di Sekolah Menengah Kebangsaan Tambunan bagi memberi ruang kepada peserta beragama Islam untuk menunaikan solat Jumaat.

"Tidak ada polis (yang ikut). Kami jaga keselamatan kami sendiri. Kami ada orang yang akan jaga. Saya kini sudah bersama peserta dihentian pertama," katanya lagi.

Menurut Andrew ketika perarakan yang bermula dari Pasar Tambunan itu, tiada anggota polis yang mengiringi mereka sewaktu berjalan.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.