Kes liwat: Mahkamah dengar rayuan 22 Julai ini

Mahkamah Rayuan Putrajaya menetapkan dua hari mulai 22 Julai ini bagi mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tarikh rayuan tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, N Kanageswari semasa pengurusan kes tersebut di hadapan beliau hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin hadir bagi pihak pendakwaan manakala Anwar diwakili oleh peguam Zaleha Al-Hayat.

Noorin memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 26 April ini untuk pengurusan kes bagi membolehkan kedua-dua pihak memuktamadkan nota prosiding.

Pada 9 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar atas dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansarara di sini, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Anwar, 65, yang juga ketua pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh, didakwa mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.