Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Parti Progresif Penduduk (PPP) hari ini menafikan dakwaan Malaysian Nanban bahawa ibu pejabat akhbar harian berbahasa Tamil itu di Jalan Ipoh diserang anggotanya berhubung penyiaran sebuah artikel berbaur fitnah.

Ketua Pemuda PPP Harridz Mohan berkata anggota parti itu dan presidennya Datuk Seri M Kayveas hanya pergi ke ibu pejabat akhbar berkenaan selepas dijemput pengarah urusan Malaysian Nanban Datuk Shafee Zaman Sikandar Batcha untuk memberi penjelasan tentang artikel berkenaan, yang disiarkan akhbar itu pada Rabu.

Artikel itu dikatakan menuduh PPP, parti komponen Barisan Nasional (BN), mengagihkan secara percuma bungkusan makanan kepada golongan yang memerlukan untuk menarik pengundi India menyokong BN.

Harridz juga menafikan terdapat anggota parti itu mengancam dan menyebabkan kecederaan terhadap pemberita akhbar berkenaan LK Raj seperti yang didakwa Malaysian Namban.

Beliau berkata pengagihan makanan percuma di bawah program "LET'S FEED" (Makanan untuk golongan memerlukan) parti itu bermula tahun lepas dan melaluinya, makanan vegetarian diagih kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira bangsa, agama dan kerakyatan di seluruh negara.

"Pusatnya terletak di Taman Sentosa, Klang di kawasan Kota Raja. Sekiranya ia mempunyai tujuan politik, sudah tentu kami menempatkan pusatnya di kawasan Batu, yang menjadi kawasan sasaran kami untuk meletakkan calon, tapi kami tidak berbuat demikian kerana ia semata-mata dilakukan demi kemanusiaan," katanya.

Setiap akhbar berhak menulis apa saja, tetapi ia perlu menjunjung etika tidak memfitnah sesiapa jua dengan sesuka hati, katanya.

-Bernama

ADS