Musa yakin BN Sabah akan menang besar lagi

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yakin BN Sabah akan meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti seperti yang dicatatkan dalam pilihan raya umum 2008.

Beliau berkata walaupun BN dijangka menghadapi tentangan hebat daripada parti pembangkang pada pilihan raya umum kali ini namun dengan kesepaduan dan kesefahaman yang amat jitu, pastinya BN Sabah mampu mengulangi kecemerlangan itu.

"Saya lihat semangat penyokong kita termasuk Wanita BN Sabah berkobar-kobar untuk turun padang bagi memastikan kemenangan calon BN.

"Saya yakin, dengan ada kesepaduan dan kerjasama semua termasuk Wanita BN yang bekerja siang dan malam untu memantapkan jentera pilihan raya, InsyaAllah kita memperolehi kemenangan besar di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program "Gelombang Biru"  Wanita BN Negeri Sabah di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Likas, dekat Kota Kinabalu hari ini. Turut hadir Pengerusi Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Pada pilihan raya umum 2008, BN Sabah pimpinan Musa hampir menyapu bersih 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 25 kerusi Parlimen apabila hanya kalah di kerusi DUN Sri Tanjung di Tawau dan kerusi Parlimen Kota Kinabalu.

Mengenai saranan Wanita BN agar lebih ramai wanita diberi peluang diketengahkan sebagai calon BN pada pilihan raya umum akan datang, Musa yang juga Pengerusi BN negeri berkata perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk menentukannya.

"Tentu sekali ada di kalangan wanita yang menjadi calon BN di Sabah, namun jumlahnya kita serahkan kepada YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk memutuskannya," katanya, sambil menambah BN negeri menghargai sumbangan dan peranan dimainkan Wanita BN dalam membantu memperkasakan jentera pilihan raya BN.

Mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan,  Musa berkata kenyataan itu telah menimbulkan kemarahan kerana menghina rakyat yang memerlukan bantuan.

"Pemberian BR1M 1.0 dan BR1M 2.0 dibuat dengan niat baik Perdana Menteri kita iaitu untuk menolong atau meringan beban rakyat. Kita patut bersyukur mempunyai seorang pemimpin yang baik hati dan berjiwa rakyat," katanya.

Mengenai pengumuman peruntukan projek pembangunan di beberapa kawasan di Sabah yang dibuat semasa lawatan Najib dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri ini baru-baru ini, Musa berkata amalan seumpama itu sudah lama dipraktikkan dan bukan hanya menjelang pilihan raya umum.

"Sebelum ini pun Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sering mengumumkan peruntukan yang diminta oleh rakyat terutama di tempat-tempat yang mereka lawati," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Musa mengingatkan rakyat Sabah agar tidak terpedaya dengan kempen pembangkang yang terus mengkritik kerajaan semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

"Pembangkang hanya pandai berbohong dan menipu rakyat. Saya harap rakyat bijak menilai dan seterusnya menyokong BN pada pilihan raya akan datang," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.