Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad Maslan: Pemimpin PAS berpandangan sempit

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menyifatkan pemimpin PAS berfikiran sempit apabila menyamakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai 'memberikan hampas kelapa, padi serta jerami kepada ayam dan lembu'.

Beliau berkata usaha murni kerajaan itu bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah tetapi juga berupaya menjana ekonomi setempat dan sekali gus meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya pandangan sempit pemimpin PAS itu jelas menunjukkan bahawa mereka kurang  pengetahuan dalam bidang ekonomi dan berfikiran cetek.

"Apabila rakyat ada duit, aliran keluar masuk wang akan rancak kerana kebanyakan penerima tidak akan simpan duit itu dalam bank sebaliknya dibelanjakan untuk keperluan harian...tetapi mereka (pemimpin PAS) tidak faham konsep pertumbuhan ekonomi," katanya.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Barisan 1Malaysia di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh di Bukit Mertajam hari ini.

Program yang menghimpunkan kira-kira 2,500 peserta daripada 40 badan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai konsep gagasan 1Malaysia serta menyalur maklumat terkini perkembangan isu semasa di dalam negara.

Ahmad berkata pemimpin PAS sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada masyarakat bersesuaian dengan status ulama yang dipegang.

Katanya sikap pemimpin pakatan pembangkang yang menabur pelbagai tohmahan serta mempertikai dasar kerajaan BN yang mengutamakan kebajikan rakyat adalah  kerana mereka bimbang sokongan rakyat akan beralih pada kepada BN.

"Mereka ini macam takut pada bayang-bayang sendiri...takut hilang kerusi apabila program yang BN buat menjadi popular dalam kalangan rakyat," katanya.

- Bernama

ADS