Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Sarawak mencadangkan agar Akta Jasa Perkasa Persekutuan (Elaun Kenangan) 2012 dipinda bagi membolehkan pembayaran elaun diwarisi balu atau anak penerima pingat selepas kematiannya.

Pengerusinya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan itu mampu membantu meringankan beban balu atau anak penerima pingat.

"Sepanjang yang saya tahu, pembayaran elaun kenangan ini sekarang hanya diberikan kepada penerima pingat sahaja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek RM10,000 kepada Angela Austin, balu penerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB) Wilfred Gomez Malong.

Wan Junaidi berkata cek itu merupakan sumbangan peribadi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi Yayasan Tun Hussein Onn.

Beliau berkata setakat kini, tiada dana khusus bagi menyalurkan bantuan jangka panjang kepada balu dan anak bekas polis berkenaan.

Wan Junaidi, yang juga Anggota Parlimen Santubong, berkata meskipun terdapat bantuan menerusi Tabung Amanah Warisan Polis, namun jumlah yang diberi agak terhad dan hanya sekali bayaran.

Dalam pada itu, beliau berharap bekas polis yang berjasa ketika darurat akan diberi lebih perhatian untuk penganugerahan Pingat Jasa Malaysia tahun ini kerana nama mereka sering tersisih daripada senarai penerima pingat berkenaan.

- Bernama

ADS