Mesin cetak tulisan Braille perbanyak buku ilmiah, dakwah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menerima dua buah mesin pencetak tulisan Braille yang dapat membantu memperbanyakkan penerbitan buku ilmiah dan bahan dakwah untuk golongan kurang upaya penglihatan.

Pengarah Bahagian Dakwah Jakim Datuk Ali Mohamed berkata mesin bernilai lebih RM50,000 itu yang disumbang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) akan diguna pendakwah kurang upaya penglihatan di bahagian berkenaan.

"Dengan adanya mesin pencetak Braille ini, ia akan memudahkan pendakwah Jakim yang kurang upaya dalam kerja-kerja dakwah selain meningatkan penghayatan Islam dalam kalangan golongan kurang upaya penglihatan.

"Sumbangan mesin pencetak ini membolehkan usaha dakwah terus berkembang dalam kalangan golongan kurang upaya penglihatan agar mereka tidak berasa tersisih. Ini menunjukkan kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan kurang upaya," katanya pada majlis penyerahan mesin pencetak tulisan Braille di Putrajaya hari ini.

Mesin tersebut diserahkan kepada Ali oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAWIP Ismail Projo.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.