Tapir ditemui mati dekat Hutan Simpan Bukit Cerakah

Seekor tapir jantan dewasa ditemui mati oleh orang ramai di Jalan Batu Arang berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah di Shah Alam pagi ini.

Penolong Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Ahmad Sahrizan Mohd Nawawi ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan bangkai tapir seberat lebih 100 kilogram itu pada kira-kira 9.15 pagi.

Beliau berkata sebaik menerima laporan pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati haiwan itu yang dilindungi oleh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 telah mati di tepi jalan raya.

"Tapir berusia kira-kira 15 tahun itu mati dipercayai akibat cedera parah di badan, kepala dan patah kaki selepas diseret sebuah kenderaan yang melanggarnya sejauh 30 meter," katanya.

Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6 pagi ini tetapi sehingga kini tiada maklumat jelas mengenai jenis kenderaan yang disyaki melanggar tapir malang itu, katanya.

Ahmad Shahrizan berkata bangkai tapir berkenaan kemudian dihantar ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Hulu Selangor untuk bedah siasat.

Katanya tapir itu dipercayai menghuni hutan simpan Bukit Cherakah dan Perhilitan kini menjalankan bancian bagi mengenal pasti jumlah sebenar tapir yang tinggal di kawasan itu untuk tindakan lanjut bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Setakat ini, kita tidak mempunyai maklumat tepat mengenai jumlah tapir di kawasan itu tetapi kami percaya hutan simpan Bukit Cherakah merupakan habitat haiwan berkenaan," katanya.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.