Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosmah: Isteri wakil rakyat perlu lengkapi ilmu

Isteri wakil rakyat perlu melengkapi diri dengan ilmu dan maklumat terkini bagi memastikan mereka berpengetahuan dan berkeupayaan membantu suami masing-masing menjayakan program untuk rakyat, kata isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) berharap usaha badan itu akan dapat memastikan rakyat sentiasa mendapat maklumat terkini.

"Diaharapkan kami mampu mencapai misi kami untuk mendidik rakyat dengan mempunyai pengetahuan dan maklumat terkini," katanya pada majlis "Wacana Akademia: Peranan Isteri Pemimpin Negara Dalam Masyarakat Kontemporari Malaysia: Cabaran Serta Isu-Isu Semasa" di Bangunan Bakti Siti Hasmah, di ibu negara hari ini

Wacana tersebut turut dihadiri Naib Yang Dipertua Bakti Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Ahli Kehormat Bakti Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta kira-kira 60 ahli Bakti.

Rosmah berkata wacana seumpama ini merupakan platform terbaik kepada ahli Bakti bagi berkongsi idea dan maklumat, serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Sementara itu, seorang daripada ahli panel wacana itu Pengarah Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi Datuk Prof Dr Roziah Omar memberitahu Bernama wacana tersebut antara lain mengupas peranan isteri pemimpin untuk bersama-sama suami menggalas tanggungjawab bagi mengukuhkan kepimpinan dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Selain itu, ia juga berobjektif memberi pendedahan kepada para isteri pemimpin bagaimana memperkasakan peranan masing-masing supaya berada dalam landasan perjuangan yang betul, katanya.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan pensyarah Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian turut menyampaikan ceramah pada majlis itu.

-Bernama

ADS