Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB kata panggil kontraktor bukan untuk gantung projek

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan bahawa beliau menggantung serta menghentikan projek jalan raya dan prasarana kerajaan persekutuan di negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak menghentikan sebarang projek sebaliknya, hanya akan memberi penerangan kepada kontraktor yang mengendalikan projek jalan raya di lebuh raya.

Katanya, ia bagi membincangkan keputusan Mahkamah Tunggi Kuala Lumpur yang menetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa terhadap struktur yang dibina di atas jalan persekutuan.

"Kita bukan hentikan pembangunan. Itu cakap tak betul. Bukan nak henti tapi kita nak tentukan proses kelulusan pembangunan mesti dibuat dengan betul.

"Saya tak nak dengar bila dalam satu keadaan seperti banjir, struktur yang dibuat kerajaan persekutuan tidak selari dengan struktur yang dikehendaki PBT.

"Saya akan panggil dari masa ke semasa pengurus yang menjalankan projek itu. Saya nak tahu mereka faham tak tentang keputusan mahkamah yang kata kerajaan negeri tak ada kuasa atas struktur yang dibuat di atas tanah kerajaan persekutuan," katanya.

Khalid berkata beliau juga ingin mengetahui sama ada kumpulan kontraktor berkenaan bersetuju dengan keputusan mahkamah tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah kompleks kediaman pekerja industri di Petaling Jaya hari ini.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan syarikat pengendali kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) Beta Tegap Sdn Bhd memasang kamera AES di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Mahkamah memutuskan Majlis Perbandaran Sepang tiada kuasa mengeluarkan notis meruntuhkan tiang dan menutup kamera AES itu.

Mahkamah juga memutuskan bahawa PBT tidak mempunyai kuasa terhadap struktur yang dibina di atas jalan persekutuan.

ADS