Ibu bunuh anak lelaki kerana malu zakarnya mengecil

"Kalau alat kelamin tak ada, lebih baik mati saja," begitu kata seorang ibu berusia 38 tahun dalam keterangan kepada polis ketika mengaku membunuh anak lelakinya berusia tujuh tahun kerana malu dengan jiran-jiran di Jatinegara, Cakung, Jakarta Timur semalam.
    
Dalam kejadian di rumahnya itu pada tengah semalam, wanita itu dilaporkan telah membenam kepala kanak-kanak itu ke dalam baldi berisi air sehingga tidak bernyawa.  
    
Ibu itu juga mengikat tangan dan kaki anaknya agar dia tidak meronta.
    
Dia telah menyerah diri di balai polis dan mengaku melakukan pembunuhan itu.

Seorang jurucakap polis dipetik oleh portal berita kompas.com sebagai berkata bahawa kanak-kanak lelaki itu telah melalui proses berkhatan di kampung halaman di Grobogan, Jawa Tengah Disember lalu.
    
Setelah pulang ke Jakarta, wanita itu yang mendapati alat kelamin anaknya mengecil telah membawa anaknya ke sebuah pusat berkhatan di Bekasi, Jawa Barat.
    
Usaha itu tidak memberi hasil sebagaimana yang diharapkan sehingga menyebabkan dia berasa malu dengan jiran-jiran dengan keadaan zakar anaknya itu, kata jurucakap itu.
    
Selain motif perasaan malu, polis akan juga menyiasat motif lain dalam pembunuhan itu kerana jiran-jiran wanita itu tidak mengetahui masalah yang dialami kanak-kanak lelaki itu selepas dia berkhatan.  
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.