Banjir: Dua rumah di Hulu Besut hanyut dibawa arus

Dua bahagian rumah di Kampung La, Hulu Besut rosak teruk akibat hanyut dibawa arus deras ketika banjir melanda kawasan itu petang semalam.

Dua rumah itu yang terletak di tepi jalan utama antara Jerteh ke Keruak, Hulu Besut iaitu berhampiran Sungai Besut, dihanyutkan kira-kira 30 meter dari tapak asalnya.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Hulu Besut Nawi Mohamad berkata separuh rumah kepunyaan Zakaria Ibrahim dihanyutkan arus deras manakala seorang lagi mangsa, Abdul Razak Abas dihanyutkan bahagian dapur rumahnya.

Katanya air mulai naik dan memenuhi sekitar Kampung La sekitar 12 tengah hari semalam dituruti arus deras akibat limpahan air Sungai Besut kira-kira sejam kemudian.

"Nasib baik semasa bahagian kedua-dua rumah itu hanyut tuan punya sebuah rumah berkenaan (Zakaria) sempat menyelamatkan diri manakala Abdul Razak pula berada di pusat pemindahan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya ekoran banjir tersebut sebanyak 75 keluarga terpaksa dipindah membabitkan 250 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung La, Zakaria Musa yang dihubungi berkata air mulai surut 2 pagi tadi dan sehingga pagi ini terdapat 150 mangsa masih berada di pusat pemindahan banjir di Masjid Kampung La.

Katanya penduduk kini sibuk mencuci rumah masing-masing yang dimasuki lumpur ekoran banjir semalam.

Sementara itu tinjauan Bernama di sekitar Jerteh mendapati beberapa buah kampung di sekitar Lubuk Kawah, Jerteh dan Kampung Lampu, Kuala Besut kini dilanda banjir apabila air mulai turun dari Hulu Besut melalui Sungai Besut awal pagi ini.

Pegawai Pelajaran Daerah Besut Ab Halim Hassan berkata 15 sekolah kebanyakannya di Hulu Besut dan Jerteh terpaksa ditutup akibat dilanda banjir sejak awal pagi tadi.

Katanya ia termasuk empat sekolah menengah yang terpaksa mengambil cuti berganti apabila jalan ke sekolah itu tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Selain itu tinjauan pagi ini juga mendapati beratus-ratus kenderaan tersadai di bandar Jerteh kerana tidak boleh meneruskan perjalanan akibat jalan utama Kota Baharu ke Kuala Terengganu dinaiki air di beberapa kawasan seperti di Kilometer 103 bandar Jerteh berhadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa dan di hadapan Sekolah Pusat Jerteh sedalam satu meter sejak 5 pagi tadi.

Sementara itu Jalan Jerteh ke Keruak, Hulu Besut juga terpaksa ditutup kerana dinaiki air di beberapa lokasi seperti di kampung Cerang Meliling, Lubok Kawah, Alor Keladi dan di Lepang Kejor antara 0.5 hingga 1.5 meter pagi ini.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.