Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Himpunan BERSIH: Mat Sabu, 13 lagi bebas tuduhan
Diterbitkan:  Feb 27, 2013 4:19 PM
Dikemaskini: Feb 28, 2013 9:06 AM

Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan 13 lagi dari tuduhan menyertai perhimpunan haram semasa himpunan BERSIH pada tahun 2007.

 

Laporan Harakahdaily menyebut, ia diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Jagjit Singh Bant Singh hari ini.

 

Sementara itu Naib Presiden PKR Tian Chua dalam tulisannya di Twitter berkata dua lagi individu, MP Padang Serai N Gobalakrishnan dan seorang lagi Mohamad Harith Fathillah didapati bersalah kerana menyertai perhimpunan haram dan enggan bersurai.

Mereka dituduh menyertai perhimpunan yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di beberapa tempat, termasuk di perkarangan Masjid Negara, Jalan Istana Baru, Jalan Raja Laut dan berdekatan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman antara 1 tengah hari dan 4 petang pada 10 November 2007.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 143 dan 145 Kanun Keseksaan, dengan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 27(4)(a) Akta Polis 1967.

Mengikut Seksyen 143, jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum enam tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali. Manakala seksyen 145 pula hukuman yang boleh dikenakan ialah dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara, seksyen 27(5)(a) pula memperuntuk hukuman denda RM10,000 dan penjara tidak melebihi satu tahun jika sabit kesalahan.

Pada 19 November 2010, Mahkamah Sesyen membebaskan dan melepaskan 16 perayu pada akhir kes pendakwaaan, tanpa memerintah mereka membela diri, tetapi berikutan rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi mengubah keputusan itu dan memerintah mereka membela diri.

Laporan lidah rasmi PAS itu menyebut, dalam penghujahannya, Jagjit berkata pihaknya berpuas hati dengan pengakuan bersumpah Mohamad yang mengatakan polis telah membenarkan beliau mengiringi bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, tidak dihalang polis ketika berjalan kaki atas tujuan tersebut ke Istana Negara.

Perkara sama turut diputuskan bagi Tian Chua, yang mana mengatakan tiada sebarang halangan untuk beliau berjalan bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Mohamad, yang ditemui selepas penghakiman tersebut bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas pembebasan itu, tetapi bersimpati terhadap dua rakannya yang disabitkan bersalah atas pertuduhan tersebut.

"Apa yang saya ingin katakan, sebarang himpunan aman, yang tidak bersenjata, eloklah untuk Peguam Negara (AG) menarik semula kes-kes membabitkan himpunan, sama ada kes yang dahulu hingga sekarang kerana pendakwaan ke atas kes sedemikian sudah dianggap tidak popular sekarang," kata Mohamad Sabu dipetik.

Sementara itu, Tian Chua dalam reaksinya berkata biarpun beliau dan rakan-rakan dibebaskan perjuangan bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil masih perlu diteruskan.

"Perjuangan Bersih yang kita mulakan sejak lima tahun lalu, masih perlu diteruskan bagi memastikan pilihan raya bersih dan adil tercapai kerana ia tonggak demokrasi," kata beliau dipetik.

ADS