Bekas kerani bank didakwa keluar wang Lisa Surihani

Seorang bekas kerani bank, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini terhadap dua pertuduhan mengeluarkan wang milik pelakon Lisa Surihani Mohamed dan ibunya berjumlah RM50,772.40 Januari lepas.
    
NONEShawallinah Jaffar, 31, dari Kudat, Sabah, didakwa mengeluarkan wang Lisa Surihani, 26 (kiri), dan ibunya, Siti Amirah Ahmad, 62, dari akaun bersama mereka.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Taman Tas, di Taman Pandan Damai, Kuantan antara 7 dan 10 Januari lepas.
    
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebatan dan boleh  didenda, jika sabit kesalahan.
    
Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan sekeping kad mesin teller automatik (ATM) milik mangsa di tempat dan tarikh yang sama.
    
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
    
Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula.
    
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari dan tertuduh tidak diwakili peguam.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.