Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lamanweb PM papar 'tindakan' dan 'rekod saya'

Lamanweb peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diakses melalui www.1malaysia.com.my kini berwajah baru dan antara lain memuatkan ruangan 'Rekod Saya' dan 'Tindakan'.

    

Ruangan 'Rekod Saya' memaparkan segmen Kemajuan Ekonomi, Inisiatif 1Malaysia, Transformasi Politik, Penglibatan serta Kepimpinan Global.

    

NONE Dalam segmen Penglibatan, Najib berkata beliau telah beberapa kali menyatakan bahawa era 'Kerajaan tahu segalanya' telah berakhir.

    

"Hakikatnya, rakyat lebih tahu apa yang mereka mahu serta perlukan dan kerana itulah saya sentiasa mahu berhubung dengan anda semua sekerap mungkin untuk mendapatkan idea, mempertimbangkan setiap pandangan itu serta melaksanakannya.

    

"Demokrasi bukanlah mengenai pilihan raya semata-mata, ia adalah tentang memenuhi setiap keperluan rakyat," kata perdana menteri.

    

Najib berkata beliau berasa rendah diri apabila melihat sokongan tidak berbelah bahagi daripada rakyat setiap kali mengadakan lawatan ke seluruh negara – tidak kira dari Batu Caves ke Brickfields, Chinatown hinggalah ke pedalaman Sabah dan Sarawak.

    

"Saya sentiasa bekerja keras untuk memastikan setiap pandangan anda yang menjurus kepada kemakmuran serta kedamaian negara dapat dilaksanakan, dan saya akan terus mempertimbangkan setiap cadangan daripada anda agar anda dapat bersama-sama dalam memajukan negara," katanya.

    

Dalam segmen Transformasi Politik, Najib berkata sejak menjadi perdana menteri pada 2009, beliau sangat jelas dengan wawasan Malaysia sebagai sebuah negara moden, progresif dan sentiasa memandang ke hadapan dalam mengamalkan demokrasi yang melindungi hak serta kebebasan rakyat.

    

"Untuk itu, saya telah melaksanakan beberapa pakej transformasi politik paling bersejarah sejak Malaysia mengecapi kemerdekaan," katanya, sambil menjadikan contoh Ordinan Darurat yang telah berakhir dan pemansuhan undang-undang era penjajah iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan tahanan tanpa dibicara.

    

Beliau turut merujuk kepada pengenalan Program Transformasi Kerajaan yang bertujuan memastikan perkhidmatan awam menjadi lebih baik dan responsif kepada kehendak rakyat selain mengelakkan rasuah.

    

Segmen Inisiatif 1Malaysia pula memaparkan program-program berfokuskan rakyat mencakupi bidang seperti perumahan, kesihatan, pelajaran, pengangkutan, makanan, tabungan, kebajikan dan latihan.

    

Pelayar blog juga boleh mengikuti aktiviti dan perkembangan perdana menteri melalui sudut yang dipanggil 'Pengembaraan Online Bersama Najib Razak'.

    

Blog berwajah baru itu juga mempunyai satu ruangan yang membolehkan pengunjung mendapatkan apa yang dipanggil Kit Tindakan mengandungi kelengkapan asas sebagai persiapan menghadapi pilihan raya.

    

Ia antara lain menyediakan buku panduan untuk pengundi baharu, pin kolar, pen dan beberapa keping pelekat.

    

Ketika ini, blog itu boleh dilayari dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, manakala bahasa Tamil dan Mandarin akan menyusul.

- Bernama

ADS