PERKASA lapor polis minta Bala henti ceramah

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Selangor hari ini membuat tujuh laporan polis meminta supaya penyiasat persendirian P Balasubramaniam menghentikan siri ceramah yang didakwa memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
    
Yang Dipertua PERKASA Selangor, Abu Bakar Yahya berkata tindakan Balasubramaniam mengaitkan Perdana Menteri dengan satu kes pembunuhan, merupakan fitnah yang serius serta boleh mengundang buruk sangka terhadap pemimpin nombor satu negara itu.
    
"Kami berharap pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Balasubramaniam yang difahamkan sudah mula mengadakan ceramah dan forum mengenai dakwaan ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
    
Beliau berkata jika benar Balasubramaniam mempunyai bukti kukuh, dia sepatutnya tampil dan menyerahkannya kepada polis bagi membolehkan siasatan dilakukan, bukan menyebarkannya sesuka hati tanpa usul periksa.
    
Abu Bakar berkata jika Balasubramaniam enggan, ini jelas bahawa dia sebenarnya berniat jahat dan menjadi alat kepada pihak tidak bertanggungjawab serta boleh mendatangkan bahaya kepada keamanan negara.
    
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan mengenai laporan polis itu.
    
Di George Town, PERKASA Pulau Pinang turut membuat laporan polis yang sama dan menurut Ketua Wira PERKASA negeri itu, Mohd Rizuad Mohd Azudin, tindakan Balasubramaniam menyebarkan fitnah itu dalam siri ceramah anjuran pembangkang tidak boleh dibiarkan kerana berniat jahat dan mengelirukan rakyat.
    
"Itu tuduhan serius sekiranya Balasubramaniam tidak boleh mengemukakan bukti kukuh berhubung kenyataannya dia patut didakwa kerana mewujudkan keadaan tidak tenteram di negara ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Shah Alam.
    
Beliau mendakwa kepulangan Balasubramaniam secara tiba-tiba menjelang pilihan raya umum ke-13 dipercayai bertujuan membantu pakatan pembangkang menghasut orang ramai dalam kempen pilihan raya akan datang.
    
Di Kuala Terengganu, PERKASA Terengganu mendesak Balasubramaniam mengemukakan bukti yang kukuh kerana mengaitkan pemimpin negara dengan kes pembunuhan itu.
    
Laporan itu dibuat Ketua Wiranita PERKASA Terengganu Wan Zakiah Wan Khalid di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu yang membantah sekeras-kerasnya kenyataan penyiasat persendirian itu.  
 
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.